Wednesday, April 9, 2008

BERBICARA DENGAN BUNGA KENDURKAN TEKANAN MENTAL

BERITA HARIAN : Diagnosis
24/02/2008 (Ahad)

Bersama Dr Noordin Darus (Doktor Perubatan lulusan Universiti Malaya dan London University)
dnd@worldwellness.com.my


PADA minggu ini, saya ingin memperkatakan kebaikan berbicara dengan bunga-bungaan secara lebih lanjut lagi, susulan artikel saya yang sebelum ini yang memperkatakan mengenai keberkesanan teknik yang digunakan oleh datuk saya iaitu berbicara dengan bunga-bungaan.

Berdasarkan asas yang lebih saintifik, ahli sains pertanian mendapati seperti juga tubuh manusia, pokok juga menghasilkan hormon tertentu yang membantu pokok berbunga dan berbuah.

Selain itu, pokok juga boleh menjadi terapi untuk menangani tekanan mental. Caranya ialah kita berbicara dengan bunga-bungaan dan waktu terbaik untuk menjalani terapi itu ialah pada waktu pagi sebelum embun tersejat.

Andaikan semalam anda menghadapi suatu hari kerja yang mengecewakan dan memerlukan perangsang untuk menghadapi hari yang baru. Sambil anda keluar daripada pintu pagar, tidak kiralah untuk menaiki kereta anda atau kaedah pengangkutan lain untuk kerja, ambillah 20 saat untuk berbicara dengan bunga-bungaan anda. Tidak perlulah rahsia yang menggegarkan bumi didedahkan. Itu bukan tujuan latihan ini, hargailah kesegaran bunga itu dengan embun yang membelai kelopaknya.

Berilah salam selamat pagi kepadanya seperti yang anda akan berikan kepada seseorang. Beritahu bunga itu bahawa ia kelihatan cantik sekali. Sentuhlah kelopak dan daun itu, rasa betapa lembutnya kelopak bunga dan sejuknya embun pagi. Cuba lakukannya dan anda akan terpegun dengan kesan menenangkan serta-merta yang diberikannya walaupun pada ketika perasaan anda sangat terganggu.

Tidak perlu anda merasionalkan kesan itu, terima sahajalah bahawa ia berkesan. Jadikannya satu tabiat harian dan anda akan melihat hasil yang memanfaatkan tidak lama lagi.

Tahukah anda bahawa bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan dan pokok yang hidup juga mempunyai perasaan seperti juga manusia? Bahawa mereka juga peka kepada persekitaran dan orang yang menjaga mereka? Apabila anda berbicara dengan bunga-bungaan, bayangkanlah apa yang akan mereka katakan jika anda dapat mendengar percakapan mereka. Ingat juga kesan “bebola getah” dan lihatlah bagaimana kesan itu terpakai dalam konteks ini.

Bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan dan pokok melambangkan kecantikan dan harmoni. Saya benar-benar percaya jika kita dapat mendengar mereka, jawapan mereka pastinya kata-kata yang menenangkan hati.

Pencinta orkid bersetuju dengan saya. Ramai yang menceritakan bagaimana kekerapan berbicara dengan tumbuh-tumbuhan, ia akan lebih sihat dan kerap berbunga daripada tumbuh-tumbuhan lain. Pekebun sayur yang saya lawati di kawasan pergunungan memberitahu saya yang mereka tidak ketinggalan untuk berbicara dengan tanaman mereka yang mana terapi itu menggalakkannya “tumbuh dengan subur”.

Saya juga diberitahu bahawa terdapat pekebun yang bersedia menanam tanaman korban bersebelahan dengan tanaman sebenar untuk dimakan oleh haiwan dan serangga perosak demi menyelamatkan tanaman sebenar itu. Bukannya sukar untuk hidup berharmoni dengan alam semula jadi. Hakikatnya banyak manfaat yang dapat dikecapi manusia sekiranya mereka dapat belajar berbicara dan mendengar nasihat bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan dan pokok.

Saya sedar sepenuhnya bahawa semua ini sukar disokong secara saintifik tetapi beberapa tahun yang lalu, saya terjumpa satu makalah mengenai kajian makmal ke atas tumbuh-tumbuhan hidup yang sudah dijalankan di Amerika Syarikat.

Kajian itu membabitkan peletakan tumbuhan hidup berhampiran dengan suatu bikar air mendidih. Kemudian elektrod dipasang kepada tumbuhan itu untuk mengesan sebarang perubahan dalam apa yang dikatakan sebagai “kegiatan” atau “perasaannya”nya. Pada mulanya tidak ada perubahan dikesan. Selepas itu ahli sains meletakkan udang hidup ke dalam bikar air mendidih, yang membunuh udang itu dengan serta-merta.

Tumbuhan itu, seolah-olah benar-benar dapat rasa kesakitan dan betapa seksanya udang yang malang itu, serta-merta menunjukkan tindakan balas yang menghasilkan garisan memuncak di atas graf. Setelah ujian itu dihentikan, garisan itu kembali mendatar semula, pada saya tidak ada gambaran yang lebih jelas bahawa tumbuh-tumbuhan mempunyai perasaan dan berupaya menunjukkan empati atas kesengsaraan orang lain.

Sekiranya anda berminat mempelajari dengan lebih mendalam mengenai keupayaan khas tumbuh-tumbuhan, The Secret Life of Your Cells oleh Clene Backster mungkin menarik minat anda.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

BERBICARA DENGAN IKAN ATASI TEKANAN

BERITA HARIAN : Diagnosis
09/03/2008 (Ahad)

Bersama Dr Noordin Darus

SATU lagi pendekatan yang sangat berkesan untuk melawan tekanan mental ialah berbicara dengan ikan. Dari sudut psikologi, hidupan air sebenarnya dapat memahami dan berempati dengan manusia. Lihat saja apabila anda memberi makan, apabila masuk atau beredar atau ketika anda membuat kerja seharian, seolah-olah hidupan air ini ingin mendampingi, 'mendengar' dan 'berbicara' dengan anda. Sebagaimana yang dikatakan oleh Dr Doolittle. "Oh, alangkah baiknya kalau kita dapat berbicara dengan haiwan".

Saya sendiri amat menggemari ikan emas dan koi. Di samping warnanya yang berkilau-kilauan, khususnya ikan emas, kelicinan pergerakannya menarik minat saya. Gelekannya begitu lancar dan berseni sekali sehingga anda boleh terpukau hanya dengan memerhatikannya berenang ke sana sini dan terlekat di cermin tangki berjam-jam lamanya.

Anda seolah-olah dijemput menyertainya dalam dunia marin dan untuk beberapa saat yang ajaib, anda dapat melupakan beban dan kerisauan dunia luar. Jika anda melihat mulutnya yang terbuka dan tertutup tanpa mengenal penat itu dengan lebih dekat, anda dapat membayangkan ikan itu berucap berulang kali "Sayangkan diri anda. Sayangkan diri anda. Sayangkan diri anda..."

Masyarakat Cina mempercayai bahawa ikan dan air mempunyai kesan yang menyejukkan. Ada juga orang mempercayai ikan, khususnya ikan kaloi, dapat menghalang kesan pukau (hipnosis melalui ilmu hitam bagi niat buruk) dalam rumah tuannya. Saya sendiri tidak dapat menjamin kebenaran sifat keajaiban lain ikan itu. Bagi saya, memadai yang ikan itu sebagai cara mudah untuk bersantai.

Hanya 20 saat memerhatikan ikan itu berenang tanpa sebarang beban di dunia adalah penawar terbaik yang dapat saya syorkan kepada jiwa yang keletihan dan tertekan. Kalau tidak, mengapa pula bank, hospital, kompleks beli-belah hinggakan lapangan terbang pun sudah mula meletakkan akuarium dan kolam ikan di premis mereka?

Haiwan dapat merasai kesedihan manusia
Banyak yang ditulis mengenai empati semula jadi haiwan kepada manusia. Tanyalah sesiapa yang memiliki binatang kesayangan dan dia akan menceritakan kepada anda mengenai kepekaan binatang kesayangan itu kepada angin dan emosinya. Haiwan bergerak balas kepada kegembiraan dan keterujaan kita dan menumpang saat bahagia kita. Haiwan juga dapat berasa kesedihan kita dan akan cuba menenangkan serta melindungi kita.

Kita sering kali mendengar kisah mengenai binatang kesayangan setia yang sudah mengembara berjauhan semata-mata untuk mencari tuannya dan mengenai binatang kesayangan yang masih sabar menunggu kepulangan tuan yang sudah pun meninggal dunia. Banyak lagi yang mati kerana merindui tuan mereka.

Gerak hati haiwan tidak terhad kepada emosi manusia. Ada kes yang mencatatkan bagaimana haiwan sudah meramalkan gempa bumi dan banjir yang akan datang. Pada tahap yang berlainan, ada haiwan yang menunjukkan kebolehan meramalkan masa depan, dengan memperlihatkan kelakuan yang ganjil seolah-olah mereka ada peran bencana akan menimpa.

Binatang kesayangan dapat memberi kesan terapeutik ke atas manusia. Beberapa hospital kanak-kanak sudah menggunakannya untuk membantu pemulihan pesakit mereka. Hospital lain menggunakan binatang kesayangan sebagai alat untuk menenangkan dan mengurangkan penderitaan pesakit yang menghidap penyakit yang boleh membawa maut.

Ikan lumba-lumba dan kuda digunakan untuk menolong orang cacat berhubung dengan persekitarannya. Di Jepun, binatang kesayangan menjadi cara yang berkesan untuk melawan tekanan mental yang dihadapi oleh eksekutif syarikat hinggakan pelbagai syarikat mula menyewakan haiwan kepada eksekutif mereka. Eksekutif itu dikehendaki berbicara dan bermain dengan haiwan itu ketika di rumah dan sewaktu bekerja, haiwan itu dijaga oleh kakitangan daripada syarikat binatang kesayangan itu.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

TERAPI MUZIK CARA BERKESAN DAMAIKAN MINDA, EMOSI

BERITA HARIAN : Diagnosis
06/04/2008 (Ahad)

Oleh Dr Noordin Darus

MUZIK adalah sebahagian daripada warisan budaya manusia. Kewujudan dan kepentingannya kepada manusia dicatatkan sejak zaman purba lagi. Muzik membantu mengembangkan panca indera dan membangkitkan penghargaan terhadap kecantikan melalui bunyi yang teratur.

Dunia seni sudah lama dihargai kerana mencuba untuk mentamadunkan masyarakat dan menjadikan mereka lebih berperikemanusiaan, selain menimbulkan kesedaran mengenai inti hati manusia. Dunia seni cuba mengimbangkan pencapaian manusia dari segi teknologi dengan memberikan jiwa kepada kerjanya. Sains saja tidak mampu menentukan sama ada penemuan teknologi teragung zaman kita akan digunakan untuk kemajuan dan manfaat manusia. Ini kerana sains tidak pernah dikenali sebagai pejuang nilai moral atau kepekaan estetik, sebaliknya muzik sepanjang zaman membantu mewujudkan kepekaan moral dan estetik yang sangat diperlukan dalam sesuatu masyarakat perindustrian yang tidak sensitif. Bagi pembela dunia seni, adalah lebih penting untuk mengenali dan mencintai umat manusia daripada mengetahui struktur atom; yang satunya lebih cenderung kepada kewujudan yang aman damai sementara yang satu lagi lebih cenderung kepada kemusnahan.

Terapi muzik

Muzik dapat mententeramkan dan menyantaikan, khususnya muzik gubahan tokoh terkemuka antaranya termasuk Mozart, Beethoven dan Verdi. Muzik juga mampu menawarkan suatu kelegaan yang hebat, walaupun sementara saja, daripada kebimbangan, kerunsingan dan kerisauan dunia.

Satu tinjauan yang dijalankan di Amerika Syarikat ke atas penuntut kolej menunjukkan bahawa tahap kecerdikan dapat dipertingkatkan dengan mendengar muzik gubahan Mozart. Muzik penggubah termasyhur itu berupaya menurunkan denyutan jantung dan membuat anda bersantai. Maka, tidak hairanlah jika muzik digunakan sebagai alat terapi.

Ada dua keadaan yang menggunakan terapi muzik. Satu daripadanya ialah keadaan klinikal, di mana terapi muzik itu digunakan untuk tujuan pembetulan. Keadaan yang satu lagi ialah keadaan pendidikan, di mana terapi muzik itu digunakan untuk meningkatkan kecerdikan.

Dalam keadaan klinikal itu, penyelidikan mendapati bahawa orang yang mengalami masalah psikiatri bertindak balas dengan lebih baik kepada rawatan apabila mereka diberikan terapi muzik pada masa yang sama. Terapi muzik dalam keadaan pendidikan membantu pelajar belajar dengan lebih baik. Di samping meningkatkan kecerdikan, ia juga sangat berkesan untuk membaiki ingatan. Pelajar yang melalui terapi muzik itu juga menunjukkan keupayaan daya ingatan yang lebih kuat.

Menyanyi tidak kira pada tahap penyanyi opera atau penyanyi bilik mandi, juga pelega tekanan mental dan ketegangan yang amat berkesan. Tanya sesiapa yang pernah pergi ke pusat karaoke yang ada di merata tempat itu. Tidak menghairankan yang karaoke yang bermula sebagai suatu fenomena Jepun, meledak dan berakar umbi di setiap pelosok dunia. Di Jepun, karaoke bermula sebagai satu upacara inisiasi, yang pekerja atau eksekutif baru dipaksa menyanyi di khalayak ramai sebagai sebahagian daripada orientasi mereka. Bagaimanapun, selepas semua orang menyedari bahawa kegiatan itu begitu menyeronokkan, bukan setakat kakitangan baru saja yang berlumba-lumba untuk menyanyi, malah yang lama turut mengambil peluang. Oleh itu, walaupun anda tidak boleh menyanyi langsung, cukup sekadar bersenandung atau bersiul kerana ia berupaya meringankan hati anda.

Terapi muzik belum lagi diiktiraf sebagai suatu rawatan penjagaan kesihatan tetapi ia digunakan untuk melegakan pelbagai penyakit emosi dan fizikal, termasuk kerencatan perkembangan diri, penyalahgunaan dadah dan penyakit kronik. Ia juga telah didapati berkesan sebagai pembantu pemulihan bagi kecederaan. Sebagai tambahan, terapi muzik juga digunakan untuk meningkatkan komunikasi dan sebagai alat bersantai.

Saya tahu bahawa pakar terapi di Britain menggunakan terapi muzik untuk meningkatkan mutu hidup kanak-kanak yang akan mati. Mengikut mereka, setelah segala usaha gagal, satu daripada cara yang paling mudah dan berkesan untuk membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit membawa maut ialah muzik.

Setiap orang berupaya bergerak balas kepada muzik. Dengan keupayaannya untuk menenangkan, menggalakkan dan menyembuhkan, muzik dapat mengatasi penyakit dan ketidakupayaan melebihi cara yang lain.

Pilihan muzik yang digunakan dalam terapi muzik adalah satu soal peribadi dan hendaklah mengikut cita rasa seseorang itu. Saya sendiri menggemari irama keroncong (muzik tempatan) walaupun anak remaja saya lebih suka kepada muzik zaman sekarang. Untuk menjayakan terapi muzik bagi diri anda, pilihlah muzik yang anda seronok dengar dan dapat membantu anda bersantai, sama ada muzik instrumental lembut, muzik klasik atau muzik "rock and roll".

Satu lagu yang amat berkesan untuk menyeronokkan keadaan adalah lagu yang liriknya seperti berikut, "Don't Worry, Be Happy..." (Jangan Risau, Bergembiralah). Nyanyikanlah (atau bersenandung) bersama saya sementara anda menyelak halaman ini. Anda di ambang perubahan hidup anda!

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com